Tuesday 8 May 2012

Tips Penanaman Pisang

Suhu optimum bagi tanaman pisang adalah antara 25 darjah Celcius sehingga 28 darjah Celcius dan tiupan angin pula tidak melebihi 15 km/jam.
Tanaman pisang memerlukan air di antara 1,500 sehingga 2,500 mm/tahun. Penanaman pisang memerlukan air terutama pada peringkat ia berjantung. Walaupun begitu, ia tidak dapat bertahan dalam keadaan terendam yang melebihi 2 jam. Pisang sesuai ditanam di tanah yang bertekstur lempung berpasir dan keadaan tanah yang peroi.
Keadaan tanah pula hendaklah rata dan beralun kurang daripada 12 peratus. Benih tanaman pisang diperoleh dengan menggunakan susur pedang, teknik belahan dan tisu didik(tisu kultur). Bagi sistem tanaman tunggal, jarak tanaman pisang adalah 2.5m x 2.5m dengan kepadatan 1,600 pokok/ha.
Bagi sistem tanaman selingan pula, jarak tanaman yang sesuai adalah 3m x 3m dengan kepadatan 700 sehingga 900 pokok/ha. Benih pisang kemudian ditanam dalam lubang berukuran 30sm x 30sm x 30sm bersama-sama dengan campuran baja fosfat, kapur, baja organik dan carbofuran. Pelepah pisang yang tua dan berpenyakit perlu dicantas dari peringkat awal penanaman.
Cantasan ini boleh dilakukan setiap dua minggu sekali. Selain itu, pokok pisang memerlukan air sebanyak 8 sehingga 12 liter sehari bagi memastikan pertumbuhan yang baik. Bagi penanaman komersial, penggunaan sistem pengairan adalah perlu.

Monday 7 May 2012

Johor Plant Tech sdn bhd dalam akhbar

Makmal kultur hasil benih pokok bermutu
Saturday, 08 April 2006
Berita Harian
JPTSB dengan 30 juruteknik mampu menyiapkan sehingga 300 balang anak benih sehari
BATU PAHAT: Makmal tisu kultur milik Johor Plant Tech Sdn Bhd (JPTSB) di Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor dijangka beroperasi Jun ini dan mampu membekalkan anak benih pokok berkualiti pada harga berpatutan bermula Mac tahun depan.
Benih pokok pisang dan nanas akan menjadi antara projek perintis dibekalkan kepada petani dan ladang negeri ini dan penghasilannya menggunakan kaedah tisu kultur dalam program bioteknologi. Menyedari kepentingan bioteknologi yang mampu menghasilkan benih pokok lebih berkualiti, JPTSB ditubuhkan dengan perkongsian antara Perbadanan Islam Johor, Perisind Holdings Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Biotech Bestari Sdn Bhd.
Dengan makmal bernilai RM4.4 juta di kawasan seluas 15.2 hektar di Pusat Pertanian Ayer Hitam, iaitu 0.5 kilometer dari Lebuh Raya Utara-Selatan, secara purata, ia mampu mengeluarkan lapan juta anak benih pokok dalam setahun.
Projek makmal yang dilengkapi dengan peralatan bioteknologi tinggi itu turut mendapat sokongan dan bimbingan pakar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Makmal itu juga memperkenalkan kaedah penanaman moden serta kepakaran dalam bidang peladangan terutama tanaman herba dari peringkat anak benih hingga penuaian.
Setakat ini, JPTSB mempunyai 30 juruteknik tisu kultur dan mampu menyiapkan antara 150 hingga 200 balang anak benih yang dikulturkan dalam sehari dan setiap balang mempunyai lapan pucuk pokok. Pengurus Besarnya, Sanusi Jamari, berkata bagi tahun pertama selepas beroperasi penuh, makmal itu dijangka mengeluarkan antara lima hingga 10 juta anak benih pokok pisang dan nanas.
Katanya, kelebihan anak benih tisu kultur terletak kepada ketahanannya melawan penyakit selain keseragaman pokok dan jaminan hasil dikeluarkan lebih berkualiti. “Kami menyahut saranan kerajaan negeri yang berhasrat dapat membekalkan benih pokok kepada petani dan peladang pada harga lebih murah dari harga pasaran dan berkualiti,” katanya.
Benih pokok hasil tisu kultur, katanya, akan mengeluarkan hasil pada tempoh yang sama dengan memastikan hanya benih terbaik ditanam, ini sekali gus dapat meningkatkan pendapatan petani kerana tiada pokok rosak atau pembaziran.
Bagi perancangan jangka panjang, katanya, JPTSB juga mensasarkan untuk membekalkan anak benih itu kepada petani di luar negeri Johor memandangkan kaedah itu membolehkan penghasilan benih yang banyak dalam tempoh singkat.
Selain benih pokok buah-buahan, makmal itu akan melakukan kaedah yang sama terhadap pokok herba dan ubatan seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, mengkudu, mascotek, hempedu bumi dan pegaga.
“Dengan adanya benih hasil tisu kultur ini, ia dapat dibekalkan kepada peladang dan tidak akan pupus serta pengusaha ubat dan herba tidak perlu masuk hutan untuk mendapatkannya,” katanya. Beliau berkata, dengan cara itu, sumber bekalan herba dapat dipastikan mencukupi bagi keperluan pelan pembangunan produk herba negeri.
Pada masa sama, katanya, makmal itu turut bertanggungjawab melakukan tisu kultur terhadap bunga dan wangian seperti orkid, kenangan dan bunga harum sundal malam. “Spesies Orkid liar yang semakin pupus misalnya boleh diklonkan menerusi tisu kultur dan mungkin akan dipasarkan ke luar negara berdasarkan kepada permintaan,” katanya.