Monday 7 May 2012

Johor Plant Tech sdn bhd dalam akhbar

Makmal kultur hasil benih pokok bermutu
Saturday, 08 April 2006
Berita Harian
JPTSB dengan 30 juruteknik mampu menyiapkan sehingga 300 balang anak benih sehari
BATU PAHAT: Makmal tisu kultur milik Johor Plant Tech Sdn Bhd (JPTSB) di Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor dijangka beroperasi Jun ini dan mampu membekalkan anak benih pokok berkualiti pada harga berpatutan bermula Mac tahun depan.
Benih pokok pisang dan nanas akan menjadi antara projek perintis dibekalkan kepada petani dan ladang negeri ini dan penghasilannya menggunakan kaedah tisu kultur dalam program bioteknologi. Menyedari kepentingan bioteknologi yang mampu menghasilkan benih pokok lebih berkualiti, JPTSB ditubuhkan dengan perkongsian antara Perbadanan Islam Johor, Perisind Holdings Sdn Bhd, Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Biotech Bestari Sdn Bhd.
Dengan makmal bernilai RM4.4 juta di kawasan seluas 15.2 hektar di Pusat Pertanian Ayer Hitam, iaitu 0.5 kilometer dari Lebuh Raya Utara-Selatan, secara purata, ia mampu mengeluarkan lapan juta anak benih pokok dalam setahun.
Projek makmal yang dilengkapi dengan peralatan bioteknologi tinggi itu turut mendapat sokongan dan bimbingan pakar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Makmal itu juga memperkenalkan kaedah penanaman moden serta kepakaran dalam bidang peladangan terutama tanaman herba dari peringkat anak benih hingga penuaian.
Setakat ini, JPTSB mempunyai 30 juruteknik tisu kultur dan mampu menyiapkan antara 150 hingga 200 balang anak benih yang dikulturkan dalam sehari dan setiap balang mempunyai lapan pucuk pokok. Pengurus Besarnya, Sanusi Jamari, berkata bagi tahun pertama selepas beroperasi penuh, makmal itu dijangka mengeluarkan antara lima hingga 10 juta anak benih pokok pisang dan nanas.
Katanya, kelebihan anak benih tisu kultur terletak kepada ketahanannya melawan penyakit selain keseragaman pokok dan jaminan hasil dikeluarkan lebih berkualiti. “Kami menyahut saranan kerajaan negeri yang berhasrat dapat membekalkan benih pokok kepada petani dan peladang pada harga lebih murah dari harga pasaran dan berkualiti,” katanya.
Benih pokok hasil tisu kultur, katanya, akan mengeluarkan hasil pada tempoh yang sama dengan memastikan hanya benih terbaik ditanam, ini sekali gus dapat meningkatkan pendapatan petani kerana tiada pokok rosak atau pembaziran.
Bagi perancangan jangka panjang, katanya, JPTSB juga mensasarkan untuk membekalkan anak benih itu kepada petani di luar negeri Johor memandangkan kaedah itu membolehkan penghasilan benih yang banyak dalam tempoh singkat.
Selain benih pokok buah-buahan, makmal itu akan melakukan kaedah yang sama terhadap pokok herba dan ubatan seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, mengkudu, mascotek, hempedu bumi dan pegaga.
“Dengan adanya benih hasil tisu kultur ini, ia dapat dibekalkan kepada peladang dan tidak akan pupus serta pengusaha ubat dan herba tidak perlu masuk hutan untuk mendapatkannya,” katanya. Beliau berkata, dengan cara itu, sumber bekalan herba dapat dipastikan mencukupi bagi keperluan pelan pembangunan produk herba negeri.
Pada masa sama, katanya, makmal itu turut bertanggungjawab melakukan tisu kultur terhadap bunga dan wangian seperti orkid, kenangan dan bunga harum sundal malam. “Spesies Orkid liar yang semakin pupus misalnya boleh diklonkan menerusi tisu kultur dan mungkin akan dipasarkan ke luar negara berdasarkan kepada permintaan,” katanya.

2 comments:

  1. assalam...saya ingin bertanya tentang stautus jplant tech...adakah masih aktif mengeluarkan benih benih tanam utk petani...sebab info yg ada disini hanya maklumat sekitar tahun 2006 sahaja

    ReplyDelete
  2. boleh saya dapatkan maklumat jika saya bercadang utk membuat sendiri makmal tissue kultur

    ReplyDelete